Thursday, February 18, 2010

Salam Terakhir

Amanat terakhir...

Cenderamata tanda kenangan

Selamat berpisah...

Jangan lupa kami di sini...

Tambah tisu... sedih ni...

Wajah-wajah sayu

SK LOSONG 18 Februari, satu majlis perpisahan Guru Besar SK Losong, Pn. Norlela bt Yusoff telah diadakan di Dewan Bestari pada jam 12.00 tengah hari. Pn. Norlela akan meneruskan tugas yang sama di sekolah baru iaitu SK Seri Nilam, Kuala Terengganu. Majlis tersebut diselubungi suasana sedih dan pilu untuk melepaskan guru besar yang berkhidmat selama 5 tahun di SK Losong. Sebelum ke SK Losong, Pn. Norlela pernah berkhidmat di SK Pasir Panjang Kuala Terengganu dan SK Penarik, Setiu.

Majlis dimulakan dengan penyampaian amanat terakhir daripada Guru Besar kepada semua guru dan murid-murid SK Losong. Dalam ucapan tersebut, beliau berharap SK Losong akan terus mencapai kejayaan yang gemilang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Beliau juga berbangga kerana SK Losong mencapai kedudukan terbaik dalam UPSR pada tahun 2009.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian cenderamata dari setiap kelas dan semua murid dan guru mengambil kesempatan terakhir untuk bersalaman dengan beliau. Salam perpisahan...



Saturday, February 06, 2010

Kem Kepimpinan Pengawas 2010

Tekun mendengar ceramah...

Ceramah dari PDRM.

Ceramah dari AADK.

Guru-guru menyediakan makan untuk peserta...

Ketua Tukang Masak.

Makan tengah hari di Bengkel KH.

Kem Kepimpinan Pengawas telah diadakan pada 5 - 6 Februari 2010 bertempat di Bilik Audio Visual SK Losong. Kursus yang melibatkan semua Pengawas Sekolah dari tahun 3 hingga 6 dianjurkan bersama oleh Badan Disiplin dan Unit Bimbingan SK Losong telah menjemput beberapa orang penceramah dari luar seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak PDRM diwakili oleh anggota dari Balai Polis Chabang Tiga Kuala Terengganu.

Sunday, January 17, 2010

Majlis Pelantikan Pengawas 2010



Ucapan perasmian



Satu majlis pelantikan pengawas sekolah bagi sesi persekolahan 2010 telah diadakan pada 17 Januari 2010 di Dewan Bestari SK Losong. Pada tahun ini pihak sekolah telah menjemput Timbalan Ketua Balai, Balai Polis Chabang Tiga, Sarjan Harun bin Jusoh untuk merasmikan majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan Watikah pelantikan Pengawas 2010.

Majlis yang bermula jam 8.00 pagi dimulakan dengan ucapan aluan Guru Besar, Pn. Norlela bt Yusof dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh Sarjan Harun. Dalam ucapan beliau, banyak ditekankan kepentingan disiplin dalam membentuk jati diri dan kejayaan murid-murid. Beliau juga mengingatkan pengawas adalah penguatkuasa undang-undang di peringkat sekolah, oleh itu pengawas mestilah terlebih dahulu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan agar murid lain dapat menjadikan pengawas sebagi contoh dan teladan yang baik. Majlis berakhir jam 9.00 pagi dengan lafaz ikrar pengawas.

Wednesday, January 06, 2010

Murid Baru...

Sila beratur... tangan ke bahu...

Murid-murid, angkat tangan kanan...

Sekarang kita akan melawat ke kantin sekolah...

Seramai 47 orang murid tahun satu telah mendaftar semasa hari pendaftaran sekolah dibuka pada hari Khamis, 31 Disember 2009. Murid-murid tersebut telah memulakan hari pertama persekolahan pada 3 Januari 2010 sebaik sekolah dibuka dan mereka ditempatkan di dalam dua kelas iaitu Tahun 1 Takwa dan 1 Amanah. Tahun 1 Takwa bersama guru kelas Pn. Zaimah Ismail manakala 1 Amanah bersama Pn. Hjh. Ainon.

Saturday, January 02, 2010

Wajah Baru




Selamat Tahun Baru 2010, selamat kembali ke sekolah kepada semua murid dan selamat datang kepada murid-murid tahun 1 dan yang baru masuk ke sekolah ini. Tahun ini, papan tanda SK Losong berwajah baru, setelah yang lama mengalami kerosakan. Semoga dengan wajah baru ini bersama azam baru semua guru dan murid SK Losong akan memacu SK Losong ke arah yang lebih cemerlang pada tahun ini berbanding tahun yang sudah berlalu.

Thursday, November 19, 2009

Keputusan UPSR 2009

Calon yang mendapat 5A

Kejayaan diraikan bersama guru-guru Tahun 6

Keputusan UPSR 2009 yang telah diumumkan pagi tadi melakar satu sejarah bagi SK Losong apabila 16 orang calonnya mencatat keputusan 5A. Keputusan yang diumumkan jam 10.30 pagi di Dewan Bestari SK Losong disambut dengan penuh keriangan dan kesyukuran oleh calon yang berjaya, manakala bagi guru-guru keputusan tersebut mencatat satu sejarah kerana inilah kali pertama jumlah calon yang mendapat 5A mencatat angka yang paling tinggi.

Berikut adalah calon-calon yang telah mendapat 5A;
1. Abdul Muiz Ismail
2. Abdul Rahman Noor Azali
3. Athirah Syammimie Asli
4. Muhammad Kamarul Azzam Kamaruzaman
5. Muhammad Salman Mahmud
6. Nadhirah Izzati Ahmad Nazli
7. Namg Hafizza Long Hassan
8. Nor Amira Zahir Rudin
9. Nur Ain Hanini Noormi
10. Nur Aliah Sofea Muhammad Bakti
11. Nur Irsalina Ibrahim
12. Nur Izzati Nabila Ahmad Zamzuri
13. Nur Amera Liyana Dianan
14. Radiana Rahim
15. Wan Azrul Naim Wan Hairuddin
16. Wan Muhammad Khairul Naim Wan Rosli

Data yang dikeluarkan oleh PPD Kuala Terengganu menyaksikan SK Losong menduduki tempat ke-10 pencapaian 5A bagi daerah Kuala Terengganu.



UPSR 2009

Di TERENGGANU, negeri itu mencatatkan rekod cemerlang sembilan tahun berturut-turut dalam peperiksaan UPSR apabila 3,664 daripada 23,944 calon yang mengambil ujian itu memperoleh semua A.

Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata kejayaan itu mencatat peningkatan 1 peratus berbanding tahun lepas yang mana menjadikan Terengganu mencatatkan pencapaian 15.3 peratus.

Pencapaian GPN juga meningkat kepada 2.22 peratus iaitu mengatasi pencapaian tahun lepas dan peringkat nasional (2.33 peratus), katanya pada sidang media di Pejabat Pelajaran Negeri. BERNAMA

http://www.bernama.com.my

Sunday, November 15, 2009

Hari Anugerah Kecemerlangan 2009

Guru Besar menyampaikan ucapan

Persembahan murid

Pengerusi PIBG menyampaikan hadiah

Hadiah mata pelajaran terbaik Tahun 3

Antara yang cemerlang dari Tahun 5

Lagi persembahan murid...

Hari Anugerah Kecemerlangan 2009 telah diadakan pada 15 November 2009 bertempat di Dewan Bestari SK Losong. Majlis pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar itu bermula jam 10.00 pagi telah disempurnakan oleh Pengerusi PIBG SK Losong, Tn. Hj. Haradzi bin Harun. Ibu bapa pelajar yang cemerlang juga dijemput hadir untuk bersama berkongsi kegembiraan dengan anak mereka. Beberapa kategori anugerah telah disampaikan pada majlis tersebut iaitu Anugerah Kedudukan Di Dalam Kelas, Anugerah Mengikut Mata Pelajaran, Anugerah Kelas Intervensi, Tokoh Nilam, Tokoh Kokurikulum, Tokoh Akademik dan Tokoh Murid.

Dalam majlis tersebut, adik Nor Amira bt Zahir Rudin telah dinobatkan sebagai Tokoh Murid, manakala bagi Tokoh Akademik disandang oleh adik Athirah Syammimie bt. Asli. Bagi Tokoh Kokurikulum pula jatuh kepada adik Nur Izzati Nabila bt. Ahmad Zamzuri dan Tokoh Nilam disandang oleh adik Nur Ain Hanini bt Noormi. Majlis pada hari tersebut berakhir pada jam 12.00 tengah hari.

Tuesday, October 27, 2009

PPAT Ke SK Losong

Taklimat oleh pihak PPAT

Sesi Pendaftaran

Para pemenang bersama hadiah masing-masing

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah mengadakan program pendaftaran bergerak ke SK Losong pada 27 Oktober 2009. Program yang bermula jam 9.30 pagi diketuai oleh Pembantu Perpustakaan Kanan, Encik Mamat Zamri bin Abdullah bersama 5 orang kaki tangan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Program yang dinamakan Dari Pintu Ke Pintu berjaya menarik hampir 90% murid dan Guru SK Losong untuk mendaftar sebagai ahli Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.


Di samping pendaftaran keahlian pihak penganjur juga telah mengadakan peraduan teka silangkata yang mendapat sambutan daripada murid-murid. Hampir 50 orang murid telah berjaya menjawab dan mendapat hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Encik Mamat Zamri kepada semua pemenang. Pihak SK Losong mengucapkan terima kasih di atas kunjugan tersebut.

Sunday, October 25, 2009

4,916 murid Kafa sertai majlis khatam Quran

SEBAHAGIAN 4,916 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)
berusia tujuh hingga 11 tahun menyertai majlis khatam al-Quran
peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang diadakan
di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Okt. - Sebanyak 4,916 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berusia tujuh hingga 11 tahun menyertai majlis khatam al-Quran peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pelajar dari 70 buah sekolah rendah di kedua-dua kawasan Parlimen itu, merupakan sebahagian daripada 14,241 orang pelajar Kafa di negeri ini yang berjaya khatam al-Quran tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustapha Othman.

Tengku Putera berkata, pelaksanaan pelbagai program kerohanian termasuk pembacaan al-Quran seawal peringkat kanak-kanak dan bayi oleh kerajaan negeri adalah bagi memastikan generasi masa akan datang mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik.

''Selain itu, kita juga ingin memastikan setiap anak itu bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga ilmu agama," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Justeru, tambahnya, ibu bapa harus memainkan peranan dalam membentuk anak-anak dan tidak seharusnya menyerahkan kepada guru-guru dan pihak sekolah.

''Kita harap guru-guru dapat memberikan komitmen yang tinggi dan kaedah pembelajaran yang berkesan perlu disediakan untuk mencapai hasrat itu," katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah dan Pusat Asuhan Fardu Ain (Kafa) Hiliran masing-masing diumumkan sebagai Sekolah Terbaik Khatam al-Quran bagi Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Kedua-dua sekolah berkenaan menerima hadiah wang tunai RM200 dan sijil.

Sumber: Utusan Malaysia

*Seramai 43 orang murid SK Losong telah terpilih menyertai program ini...

Monday, October 19, 2009

Kembara K.T. - Kuching

Pada 15 Oktober 2009, Pihak SK Losong telah mengadakan lawatan ke Sarawak, Negeri Bumi Kenyalang. Ahli rombongan seramai 39 orang terdiri daripada murid-murid dan guru-guru serta ahli PIBG. Rombongan diketuai oleh Guru Besar, Pn. Norlela bt Yusoff manakala pengurus rombongan ialah Cikgu Baharim Ramli selaku S/U PIBG SK Losong. Rombongan ini merupakan rombongan pertama dari SK Losong ke Sarawak dan rombongan pertama yang melakukan perjalanan keluar dari Semenanjung Malaysia.

Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu

Di LCCT Sepang

Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu menggunakan perkhidmatan Air Asia menuju ke Kuala Lumpur jam 8.25 pagi. Tiba di LCCT, Kuala Lumpur jam 9.10 minit pagi. Di sini kami dijamu dengan nasi lemak sebagai menú sarapan pagi. Selepas menikmati sarapan pagi, kami bersiap untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dirancang. Jam 11.45 pagi, kumpulan pertama berlepas ke Kuching juga menggunakan perkhidmatan Air Asia dan tiba di sana jam 1.30 tengah hari manakala kumpulan kedua tiba sejam kemudian.

Bersama Penolong Pegawai Penerangan Daerah Kuching

Di Jabatan Penerangan Daerah Kuching

Di lobi hotel

Destinasi pertama kami di Kuching ialah Jabatan Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan, di sini kami dihidangkan dengan laksa Sarawak yang begitu menyelerakan. Selepas makan kami diberi sedikit taklimat ringkas oleh Penolong Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Pn. Mariyati Oerip Marsono. Selepas bertukar cenderamata, kami meninggalkan Jabatan Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Hotel Harbour View tempat kami akan menginap selama 3 hari 2 malam. Jam 5.00 petang kami mendaftar masuk ke bilik masing-masing. Jam 7.00 malam, kami keluar menikmati suasana malam di Kuching Waterfront dan kembali semula ke bilik masing-masing sekitar jam 9.00 malam.

Di Muzium Kucing

Pada hari kedua, selepas menikmati sarapan pagi kami menuju ke Muzium Kucing di Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara. Tiba di sana jam 9.00 pagi, melawat pameran pelbagai jenis kucing, lawatan berakhir sejam kemudian. Aktiviti seterusnya ialah menbeli-belah di sekitar Kuching Waterfront.

Demonstrasi membuat pasu oleh Cikgu Rashid

Bersama pegawai dari JPN Sarawak yang banyak membantu kami

Saya dah beli...

Jam 2.00 petang, kami dibawa melawat ke kilang membuat Pasu Sarawak. Ahli rombongan tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai jenis pasu di samping mencuba untuk membuat pasu sendiri. Jam 4.30 petang kami ke kilang membuat Kek Lapis Dayang Salhah, di sini kami dapat menikmati kek lapis pelbagai jenis dan tak lupa membeli kek tersebut sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Jam 5.30 petang, kami dibawa ke Pasar Satok untuk membeli ikan Terubuk yang akan dibawa balik ke Terengganu. Kami pulang ke bilik penginapan sebelum keluar semula malam nanti.

Di perkarangan bangunan Yayasan Sarawak

Jam 8.00 malam kami dibawa ke Bangunan Yayasan Sarawak untuk menikmati makan malam yang ditaja oleh Yayasan Sarawak. Selesai makan malam kami dibawa meronda sekitar Bandaraya Kuching sebelum pulang semula ke tempat penginapan.

Makan tengah hari di LTAK Sarawak

Jam 7.30 pagi (17 Oktober) selepas menikmati sarapan pagi kami dibawa ke Serikin untuk membeli-belah pada hari terakhir. Perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit menuju ke Serikin yang terletak di sempadan Sarawak Kalimantan, Indonesia. Kesempatan terakhir untuk membeli-belah tidak dilepaskan, terutama barangan Indonesia seperti baju sembahyang dan kain batik. Jam 11.30 pagi rombongan kami meninggalkan Serikin menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk balik ke Kuala Lumpur.

Perjalanan pulang ke KL

Jam 3.05 petang rombongan kami berlepas dari Kuching dan tiba di LCCT Kuala Lumpur jam 4.35 petang. Perjalanan terakhir kami untuk pulang ke Kuala Terengganu bermula jam 8.35 malam dan tiba Lapangan Terbang Sultan Mahmud jam 9.15 malam. Perjalanan kami berakhir di sini apabila ahli keluarga masing-masing datang mengambil ahli rombongan yang pulang dengan seribu kenangan manis dan pelbagai cenderamata dari Bumi Kenyalang.

Monday, October 12, 2009

Perkhemahan Unit Beruniform

Di puncak Bukit Besar

Melambai dalam kabus pagi

Di puncak Kejayaan...

Malam persembahan

Tolongggg..... hantuuuuuuu......


Perkhemahan Unit Beruniform SK Losong telah diadakan pada 8 hingga 10 Oktober 2009 bertempat di Perkarangan SK Losong. Perkhemahan yang disertai oleh semua murid tahun 6 bermula jam dua petang melibatkan beberapa aktiviti seperti pertandingan memasak, kembara, sukaneka, kuliah agama, malam persembahan dan beberapa acara lagi.
Perkhemahan pada tahun ini memberikan kepuasan kepada murid walaupun disertai dengan kehadiran hujan yang lebat pada malam pertama perkhemahan. Perkhemahan berakhir jam 12.00 tengah hari, 10 Oktober 2009.