SEJARAH SKLo

Sekolah Kebangsaan Losong ditubuhkan pada tahun 1923, merupakan salah sebuah sekolah yang tertua di daerah Kuala Terengganu. Sejarah awal penubuhan sekolah ini mengikut catatan buku sejarah adalah mengikut sempena nama Kampung Losong.
Khabar cerita dari Tuan Haji Nawang in Haji Abdullah, lelaki tertua di Kampung Losong menyatakan bahawa Kampung Losong berasal daripada nama seorang perempuan Bugis yang bernama ‘LOSONG’ bersama-sama dengan seramai 10 orang hambanya serta 40 ekor anjing untuk menjaga dan mengawal kampung. Sudah menjadi sejarah silam, bahawa “yang kuat berkuasa dan yang lemah menjadi pengikut”, maka ketika itu telah meletus peperangan bagi merebut kuasa dan jajahan. Akhirnya Losong bersama-sama hambanya telah melarikan diri kerana telah kalah dalam peperangan tersebut. Dari peristiwa inilah lahirnya nama Kampung Losong dan mula membangun sehingga ke hari ini.Lahirlah beberapa buah kampung yang bermula dengan nama Losong seperti Kampung Losong Panglima Perang, Kampung Losong Megat Hussin, Kampung Losong Haji Su, Kampung Losong Lebai Salleh, Kampung Losong Feri, Kampung Losong Haji Long, Kampung Losong Masjid, Kampung Losong Pasir dan beberapa nama kampung yang bermula dari perkataan Losong. Perkampungan Melayu ini, rata-rata didiami oleh kaum nelayan, buruh, penjaja, pekedai, bekerja sendiri dan segelintir sahaja kakitangan kerajaan.
Pada awal penubuhannya, Sekolah Kebangsaan Losong hanya terdiri daripada muid-murid lelaki sahaja. Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan yang diperbuat daripada kayu dan beratap nipah dengan keluasan lebih kurang satu ekar. Dibina dalam kawasan berpaya bakau dan nipah (baran) dan bersebelahan dengan sebuah alur. Ini menyebabkan sekolah sering ditenggelami air apabila air pasang dan segala aktiviti tergendala. Ketika itu sekolah hanya mempunyai seramai lebih kurang lima puluh orang murid-murid yang semua terdiri daripada murid lelaki sahaja di bawah tunjuk ajar lima orang guru Latihan Normal.
Dalam tahun 1975, bangunan kayu digantikan dengan sebuah bangunan batu tiga tingkat yang didirikan di atas tapak asal. Bilangan murid mula bertambah dan bermula tahun 1979 sekolah telah mula menerima kemasukan murid-murid perempuan. Dengan pertambahan bilangan murid yang mendadak menyebabkan sekolah terpaksa mewujudkan dua sidang, iaitu sesi pagi dan sesi petang. Akhirnya, pada tahun 1979 sebuah bangunan batu tiga tingkat telah dibina bagi menampung keperluan pendidikan. Bangunan tambahan ini mempunyai tujuh bilik darjah, bilik tayangan, bilik komputer, perpustakaan sumber, makmal Kemahiran Hidup, setor Alat Bantu Mangajar dan sebuah Dewan terbuka. Bilangan murid semakin bertambah sehingga mencecah seribu orang, apabila terdirinya projek perumahan di Kampung Losong Feri dan sebuah pasar bersebelahan dengan pagar sekolah, iaitu Pasar Chabang Tiga. Yang mana, majoriti anak-anak penjaja di pasar berkenaan menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Losong. walaupun mereka tinggal berjauhan dengan sekolah seperti Seberang Takir, Gong Badak dan Wakaf Mempelam.
Pada awal tahun 2000, apabila Sekolah Kebangsaan Bukit Losong dibuka, Sekolah Kebangsaan Losong hanya mempunyai seramai Empat Ratus Lima Puluh orang murid laki-laki dan perempuan dengan tenaga pengajar seramai Dua Puluh Tujuh orang. Sekolah dilaksanakan dalam satu sesi sahaja. Dengan keluasan sekolah yang agak terbatas dan terhad, tiada padang permainan, maka aktiviti kokurikulum tidak dapat dijalankan sepenuhnya. Sekolah hanya merancang aktiviti permainan gelanggang dan dalaman sahaja seperti sepak takraw, ping pong dan aktiviti kokurikulum akademik seperti nasyid dan koir. Bagi mewujudkan Sekolah Berwatak, Pasukan Koir dan Nasyid telah beberapa kali mencipta nama sebagai Johan Peringkat Daerah dan Negeri.

Sekolah Kebangsaan Losong telah mengukir nama dengan melahirkan anak tempatan yang berkebolehan, berkepimpinan dalam menjawat jawatan penting dalam perkidmatan sektor awam, swasta dan usahawan berjaya. Nama-nama seperti Tuan Haji Mohd Omar bin Abdul Rahman (bekas Pengarah Pendidikan Terengganu), Dato’ Haji Alwi bin Mohamad (bekas Pengarah Yayasan Islam Negeri Terengganu), Dato’ Haji Azman bin Muda (bekas Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu) dan Tuan Haji Nik Abdul Kadir (seorang usahawan berjaya).