Sunday, October 25, 2009

4,916 murid Kafa sertai majlis khatam Quran

SEBAHAGIAN 4,916 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)
berusia tujuh hingga 11 tahun menyertai majlis khatam al-Quran
peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang diadakan
di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Okt. - Sebanyak 4,916 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berusia tujuh hingga 11 tahun menyertai majlis khatam al-Quran peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pelajar dari 70 buah sekolah rendah di kedua-dua kawasan Parlimen itu, merupakan sebahagian daripada 14,241 orang pelajar Kafa di negeri ini yang berjaya khatam al-Quran tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustapha Othman.

Tengku Putera berkata, pelaksanaan pelbagai program kerohanian termasuk pembacaan al-Quran seawal peringkat kanak-kanak dan bayi oleh kerajaan negeri adalah bagi memastikan generasi masa akan datang mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik.

''Selain itu, kita juga ingin memastikan setiap anak itu bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga ilmu agama," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Justeru, tambahnya, ibu bapa harus memainkan peranan dalam membentuk anak-anak dan tidak seharusnya menyerahkan kepada guru-guru dan pihak sekolah.

''Kita harap guru-guru dapat memberikan komitmen yang tinggi dan kaedah pembelajaran yang berkesan perlu disediakan untuk mencapai hasrat itu," katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah dan Pusat Asuhan Fardu Ain (Kafa) Hiliran masing-masing diumumkan sebagai Sekolah Terbaik Khatam al-Quran bagi Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Kedua-dua sekolah berkenaan menerima hadiah wang tunai RM200 dan sijil.

Sumber: Utusan Malaysia

*Seramai 43 orang murid SK Losong telah terpilih menyertai program ini...

No comments: