Wednesday, October 31, 2007

Majlis Perpisahan Pengawas 2007

Guru Besar menyampaikan ucapan

Khusyuk mendengar ucapan

Satu majlis Jamuan Perpisahan Pengawas 2007 telah diadakan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada hari Isnin, 29 Oktober 2007. Majlis yang diadakan serentak dengan jamuan akhir tahun Kelab Guru 2007 telah dihadiri oleh semua guru dan kaki tangan sekolah bermula jam 3.00 petang. Turut diadakan dalam majlis itu ialah acara cabutan bertuah, sebanyak 10 hamper telah disediakan untuk peserta yang bertuah. Majlis berakhir pada jam 4.30 petang.

Tuesday, October 30, 2007

Lawatan Sambil Belajar (Lasbela 2007)

Di Stesen Penyelidikan Mardi

Semasa di TV3

Bergambar di Bandar Hilir

SK Losong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Melaka, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Cameron Highland pada 23 hingga 26 Oktober 2007. Lawatan tersebut telah disertai oleh 58 orang murid dan 10 orang guru pengiring. Rombongan sebanyak 2 buah bas diketuai oleh Guru Penolong Kanan 1, En. Ismail Abdullah telah bertolak dari SK Losong pada pukul 9.30 malam, 23 Oktober dan tiba di Melaka keesokkan harinya.
Destinasi pertama lawatan ialah sekitar Bandar Hilir Melaka, lawatan di Melaka diteruskan ke Taman Rama-rama dan Zoo Melaka. Ahli rombongan telah bermalam di Melaka dan lawatan diteruskan keesokkan harinya ke KLIA dan sekitar Putrajaya. Rombongan menikmati makan tengah hari di Putrajaya. Acara pada sebelah petang diteruskan ke Kuala Lumpur dan destinasinya ialah ke stesen TV3 iaitu di Sri Pentas. Di sini rombongan telah dibawa melawat ke beberapa tempat-tempat menarik di TV3 seperti bilik berita dan sebagainya. Selepas melawat TV3, rombongan telah di bawa ke bandaraya Kuala Lumpur. Pada sebelah malamnya, rombongan telah dibawa ke Eye On Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa.
Pada sebelah malam perjalanan diteruskan ke Cameron Highland dan tiba di sana pada awal pagi. Di Cameron Highland, rombongan telah dibawa ke tempat-tempat menarik di sana seperti Stesen Penyelidikan Mardi, Kea Farm, ladang teh dan sebagainya. Lawatan berakhir di Cameron Highland dan rombongan telah balik ke Terengganu melalui Gua Musang dan tiba di Terengganu jam 10.30 malam.

Monday, October 22, 2007

Hari Raya 2007

Sesi menjamu selera

Peminat Karaoke

Sesi karaoke bersama artis

Majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri telah diadakan pada 22 Oktober 2007 di Dewan Bestari SK Losong. Majlis yamg bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari turut dihadiri oleh Pengerusi dan AJK PIBG SK Losong. Dalam majlis tersebut, murid-murid berpakaian raya menikmati pelbagai jenis kuih raya yang dibawa sendiri oleh murid-murid selain juadah yang disediakan oleh pihak sekolah.

Monday, September 24, 2007

SK Losong Bertuah

Keindahan Masjid Kristal

Murid-murid SK Losong bertuah kerana dapat melihat keindahan Masjid Kristal dari sudut yang tidak dapat dilihat oleh kebanyakan orang. Murid SK Losong boleh melihat pemandangan tersebut dari dalam kelas mereka seperti gambar di atas, Masjid tersebut masih lagi dalam proses pembinaan.

Wednesday, September 05, 2007

SK LOSONG JUARA

Pasukan SK Losong bersama Guru Besar (tengah),
jurulatih (kanan) dan pengurus pasukan (kiri).


Sekolah Kebangsaan Losong telah berjaya mencipta sejarah apabila pasukan bolasepak bawah 10 tahun telah berjaya menjadi johan Pertandingan Bolasepak Bawah 10 Tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia Kuala Terengganu Selatan yang berlangsung dari 29 hingga 30 Ogos di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu.

Pasukan ini telah berjaya menewaskan pasukan SK Gelugor 3 – 0, SK Rengas Bekah 2 – 0, SK Pusat Kuala Ibai 2 – 0 dan SK Atas Tol 3 – 0. Pada peringkat suku akhir SK Losong menewaskan SK Sultan Sulaiman 1 dengan jaringan 1 – 0 dan pada peringkat separuh akhir menumpaskan SK Pusat Chabang Tiga 3 – 0. SK Losong muncul juara setelah menumpaskan SK Rengas Bekah pada peringkat akhir dengan jaringan 1 – 0.

Menurut jurulatih pasukan SK Losong, Cikgu Nor Ishan pasukan SK Losong berjaya mencipta kejutan kerana telah lama tidak menyertai sebarang kejohanan bola sepak lantaran ketiadaan padang untuk latihan. Bagaimanapun dengan azam dan semangat yang kental akhirnya SK Losong muncul juara walaupun hanya berlatih di tempat letak kereta sekolah. Menurutnya lagi, pemain-pemain mencipta sejarah apabila beraksi cemerlang dengan memenangi kesemua 7 perlawanan tanpa melepaskan sebarang gol kepada pihak lawan.

Saturday, August 18, 2007

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan


MERDEKA MERDEKA MERDEKA

SK Losong mengucapkan Selamat menyambut
Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia......

Thursday, July 19, 2007

Padang SK Losong

Beginilah keadaan padang SK Losong.
Murid-murid mengadakan aktiviti PJ
dan sukan
di antara kereta-kereta guru dan kaki tangan sekolah

kerana di sinilah juga merupakan
tempat parking kereta.....

Monday, July 09, 2007

Faber-Castell ke SK Losong

Pemenang kuiz bersama hadiah masing-masing.

Faber-Castell School Road Show telah datang ke SK Losong dalam rangka promosi produk terbaru keluaran mereka pada 9 Julai 2007. Dalam kunjungan tersebut, pihak Faber-Castell telah mengadakan demontrasi dan pengenalan kepada beberapa produk baru mereka. Selain daripada itu murid-murid juga berpeluang menjawab soalan kuiz yang menyediakan hadiah produk Faber-Castell.

Sunday, July 08, 2007

Kem Perkasa UPSR

Peserta Kem Perkasa UPSR tekun menjawab soalan.

SK Losong telah menyertai Kem Perkasa UPSR 2007. Kem yang dianjurkan oleh Majlis Guru Besar Kuala Terengganu dan Pejabat Pelajaran Kuala Terengganu telah diadakan di SK Durian Burong, Kuala Terangganu. Kem selama 3 hari bermula 5 Julai berakhir 7 Julai merupakan fasa kedua kem tersebut dimana fasa pertama telah dijalankan pada 21 hingga 23 Jun 2007 di SK Bukit Losong.
Kem Perkasa ini disertai oleh 4 buah sekolah iaitu SK Losong, SK Bukit Losong, SK Seri Nilam dan SK Durian Burong. SK Losong telah menghantar 23 orang murid untuk menyertai kem tersebut.

Thursday, July 05, 2007

Peraduan Mewarna A&W


Murid tekun mewarna

Satu Peraduan Mewarna telah diadakan pada 4 Julai 2007 di Dewan Bestari SK Losong yang dianjurkan bersama oleh SK Losong dan Restoran Keluarga A&W. Acara yang bermula jam 12.45 tengahari itu berakhir jam 2.15 petang. Acara tersebut disertai oleh murid dari tahun 1 hingga tahun 6 dan juga murid-murid Prasekolah. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran maskot A&W......

Thursday, May 17, 2007

Hari Guru 2007

Bacaan Ikrar diketuai oleh Ustaz Syukri Abdullah

Sambutan Hari Guru 2007 telah diadakan pada 16 Mei di SK Losong. Sambutan yang bertemakan Guru Penjana Modal Insan Gemilang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Selamat Sultan dan lagu sekolah diikuti dengan bacaan perutusan Hari Guru daripada Ketua Pengarah Pelajaran dan Menteri Pelajaran Malaysia. Majlis diteruskan lagi dengan nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru. Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar dan bacaan doa.
Sambutan Hari Guru tahun ini telah dimeriahkan dengan beberapa acara seperti perlawanan akhir futsal dan bola baling dan beberapa acara sukaneka yang disertai oleh guru-guru dan murid-murid. Di antara acara sukaneka yang dipertandingkan seperti tiup belon, terompah gergasi, gelek bola dan beberapa acara lagi. Acara sambutan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Puan Guru Besar, Pn. Norlela bt. Yusoff.

Tuesday, May 15, 2007

Karnival Sukan 2007


Selasa, 15 Mei - Karnival Sukan 2007 telah diadakan dari 9 Mei dan akan berakhir pada 16 Mei 2007. Karnival yang julung kali diadakan mempertandingkan dua acara iaitu bola baling bagi perempuan dan futsal bagi lelaki.
Format pertandingan secara liga mengikut rumah sukan itu diadakan bersempena Hari Guru 2007. Pertandingan dibahagikan kepada enam kategori iaitu tahun 1 hingga tahun enam telah diadakan di Dataran Ilmu SK Losong bagi tahun 4 hingga 6 dan Dewan Bestari bagi tahun 1 hingga 3. Pertandingan akhir bagi tahun 1 hingga 4 diadakan pada hari ini manakala bagi tahun 5 dan 6 akan berlangsung esok di gelanggang yang sama.

Sunday, April 29, 2007

Kem Kecemerlangan UPSR ( KE MERCU ) 2007

Calon UPSR 2007 tekun mendengar ceramah

Kem Kecemerlangan UPSR 2007 ( Ke Mercu ) telah diadakan pada 20 & 21 April 2007 bertempat di Angullia Beach House Resort, Marang, Terengganu. Kem selama 2 hari 1 malam iaitu telah disertai oleh semua murid tahun 6 SK Losong.
Para pelajar telah didedahkan mengenai teknik menjawab soalan UPSR yang merangkumi semua subjek UPSR. Ceramah-ceramah itu telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari sekolah di sekitar Kuala Terengganu yang mana penceramah tersebut merupakan pemeriksa kertas UPSR.

Friday, April 20, 2007

Kereta Untuk Dijual

Beginilah keadaan tempat letak kereta di perkarangan SK Losong. Setiap kali adanya sesuatu acara atau sambutan tempat letak kereta di sini akan penuh sesak dan menyukarkan pergerakan kereta untuk keluar masuk. Sampai bilakah keadaan ini akan berakhir????

Thursday, April 12, 2007

SK Losong Tuan Rumah Pertandingan Bercerita

Peserta menyampaikan cerita dengan penuh gaya

SK Losong telah dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Bercerita Sekolah Rendah Peringkat Daerah Kuala Terengganu pada 12 April 2007. Pertandingan yang disertai oleh sepuluh buah sekolah telah diadakan di Perpustakaan Sekolah bermula jam 9.00 pagi.
Johan pertandingan tahap 1 Daerah KTU ialah SK Gong Badak, manakala tempat kedua ialah SK Mengabang Telipot dan Tempat ketiga ialah SK Manir. Manakala johan tahap satu Daerah KTS ialah SK Kubang Ikan manakala naib johan ialah SK Gelugor.
Johan bagi tahap 2 Daerah KTU ialah SK Kompleks Seberang Takir, tempat kedua ialah SK Beladau Kolam dan tempat ketiga ialah SK Institut Perguruan Kuala Terengganu. Manakala johan tahap dua KTS ialah SK Duyung dan tempat kedua ialah SK Seri Budiman 2.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Guru Penolong Kanan 1, Sk Losong yang mewakili Guru Besar SK Losong.

Sunday, March 04, 2007

Kem Kepimpinan Pengawas 2007

Para pengawas khusyuk mendengar ceramah

Kem Kepimpinan Pengawas telah diadakan pada 2 dan 3 Mac 2007 bertempat di Angullia Beach House Resort, Marang, Terengganu. Kem yang diadakan selama 2 hari 1 malam itu telah dianjurkan oleh Badan Disiplin dan Pengawas SK Losong dengan kerjasama Unit Bimbingan SK Losong melibatkan semua pengawas sekolah seramai 39 orang.
Kem tersebut telah dirasmikan oleh Guru Penolong Kanan I, En. Ismail Abdullah selaku pemangku Guru Besar SK Losong. Tiga orang penceramah telah diundang untuk menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut. Mereka ialah Pn. Hjh. Aini bt Mohd Som, Penolong Kanan I SK Gong Tok Nasek manakala penceramah kedua ialah En. Tawang b Sulong, Guru Besar SK Atas Tol, dan penceramah ketiga ialah En. Zainuddin Omar, Guru Kaunseling SK Kesom, Kuala Terengganu.

Wednesday, February 28, 2007

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas 2007

Para Pengawas SK Losong tahun 2007

Satu majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah telah diadakan pada
28 Januari 2007 di Dewan Bestari SK Losong. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Losong, Pn. Norlela bt Yusoff. Seramai 39 orang murid dari tahun 3 hingga 6 telah dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun ini.
Pengawas sekolah pada tahun ini diketuai oleh Nurul Syahirah bt. Asli manakala penolongnya pula ialah Mohd Fitri Hafizi b Fauzi. Kedua-duanya adalah dari tahun 6 Takwa.
Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Guru Besar mengingatkan kepada para pengawas yang dilantik agar menjaga disiplin diri dan bertugas dengan penuh dedikasi demi menjaga nama baik sekolah.