Tuesday, October 27, 2009

PPAT Ke SK Losong

Taklimat oleh pihak PPAT

Sesi Pendaftaran

Para pemenang bersama hadiah masing-masing

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah mengadakan program pendaftaran bergerak ke SK Losong pada 27 Oktober 2009. Program yang bermula jam 9.30 pagi diketuai oleh Pembantu Perpustakaan Kanan, Encik Mamat Zamri bin Abdullah bersama 5 orang kaki tangan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Program yang dinamakan Dari Pintu Ke Pintu berjaya menarik hampir 90% murid dan Guru SK Losong untuk mendaftar sebagai ahli Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.


Di samping pendaftaran keahlian pihak penganjur juga telah mengadakan peraduan teka silangkata yang mendapat sambutan daripada murid-murid. Hampir 50 orang murid telah berjaya menjawab dan mendapat hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Encik Mamat Zamri kepada semua pemenang. Pihak SK Losong mengucapkan terima kasih di atas kunjugan tersebut.

Sunday, October 25, 2009

4,916 murid Kafa sertai majlis khatam Quran

SEBAHAGIAN 4,916 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)
berusia tujuh hingga 11 tahun menyertai majlis khatam al-Quran
peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang diadakan
di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Okt. - Sebanyak 4,916 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berusia tujuh hingga 11 tahun menyertai majlis khatam al-Quran peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pelajar dari 70 buah sekolah rendah di kedua-dua kawasan Parlimen itu, merupakan sebahagian daripada 14,241 orang pelajar Kafa di negeri ini yang berjaya khatam al-Quran tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustapha Othman.

Tengku Putera berkata, pelaksanaan pelbagai program kerohanian termasuk pembacaan al-Quran seawal peringkat kanak-kanak dan bayi oleh kerajaan negeri adalah bagi memastikan generasi masa akan datang mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik.

''Selain itu, kita juga ingin memastikan setiap anak itu bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga ilmu agama," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Justeru, tambahnya, ibu bapa harus memainkan peranan dalam membentuk anak-anak dan tidak seharusnya menyerahkan kepada guru-guru dan pihak sekolah.

''Kita harap guru-guru dapat memberikan komitmen yang tinggi dan kaedah pembelajaran yang berkesan perlu disediakan untuk mencapai hasrat itu," katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah dan Pusat Asuhan Fardu Ain (Kafa) Hiliran masing-masing diumumkan sebagai Sekolah Terbaik Khatam al-Quran bagi Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Kedua-dua sekolah berkenaan menerima hadiah wang tunai RM200 dan sijil.

Sumber: Utusan Malaysia

*Seramai 43 orang murid SK Losong telah terpilih menyertai program ini...

Monday, October 19, 2009

Kembara K.T. - Kuching

Pada 15 Oktober 2009, Pihak SK Losong telah mengadakan lawatan ke Sarawak, Negeri Bumi Kenyalang. Ahli rombongan seramai 39 orang terdiri daripada murid-murid dan guru-guru serta ahli PIBG. Rombongan diketuai oleh Guru Besar, Pn. Norlela bt Yusoff manakala pengurus rombongan ialah Cikgu Baharim Ramli selaku S/U PIBG SK Losong. Rombongan ini merupakan rombongan pertama dari SK Losong ke Sarawak dan rombongan pertama yang melakukan perjalanan keluar dari Semenanjung Malaysia.

Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu

Di LCCT Sepang

Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu menggunakan perkhidmatan Air Asia menuju ke Kuala Lumpur jam 8.25 pagi. Tiba di LCCT, Kuala Lumpur jam 9.10 minit pagi. Di sini kami dijamu dengan nasi lemak sebagai menĂº sarapan pagi. Selepas menikmati sarapan pagi, kami bersiap untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dirancang. Jam 11.45 pagi, kumpulan pertama berlepas ke Kuching juga menggunakan perkhidmatan Air Asia dan tiba di sana jam 1.30 tengah hari manakala kumpulan kedua tiba sejam kemudian.

Bersama Penolong Pegawai Penerangan Daerah Kuching

Di Jabatan Penerangan Daerah Kuching

Di lobi hotel

Destinasi pertama kami di Kuching ialah Jabatan Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan, di sini kami dihidangkan dengan laksa Sarawak yang begitu menyelerakan. Selepas makan kami diberi sedikit taklimat ringkas oleh Penolong Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Pn. Mariyati Oerip Marsono. Selepas bertukar cenderamata, kami meninggalkan Jabatan Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Hotel Harbour View tempat kami akan menginap selama 3 hari 2 malam. Jam 5.00 petang kami mendaftar masuk ke bilik masing-masing. Jam 7.00 malam, kami keluar menikmati suasana malam di Kuching Waterfront dan kembali semula ke bilik masing-masing sekitar jam 9.00 malam.

Di Muzium Kucing

Pada hari kedua, selepas menikmati sarapan pagi kami menuju ke Muzium Kucing di Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara. Tiba di sana jam 9.00 pagi, melawat pameran pelbagai jenis kucing, lawatan berakhir sejam kemudian. Aktiviti seterusnya ialah menbeli-belah di sekitar Kuching Waterfront.

Demonstrasi membuat pasu oleh Cikgu Rashid

Bersama pegawai dari JPN Sarawak yang banyak membantu kami

Saya dah beli...

Jam 2.00 petang, kami dibawa melawat ke kilang membuat Pasu Sarawak. Ahli rombongan tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai jenis pasu di samping mencuba untuk membuat pasu sendiri. Jam 4.30 petang kami ke kilang membuat Kek Lapis Dayang Salhah, di sini kami dapat menikmati kek lapis pelbagai jenis dan tak lupa membeli kek tersebut sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Jam 5.30 petang, kami dibawa ke Pasar Satok untuk membeli ikan Terubuk yang akan dibawa balik ke Terengganu. Kami pulang ke bilik penginapan sebelum keluar semula malam nanti.

Di perkarangan bangunan Yayasan Sarawak

Jam 8.00 malam kami dibawa ke Bangunan Yayasan Sarawak untuk menikmati makan malam yang ditaja oleh Yayasan Sarawak. Selesai makan malam kami dibawa meronda sekitar Bandaraya Kuching sebelum pulang semula ke tempat penginapan.

Makan tengah hari di LTAK Sarawak

Jam 7.30 pagi (17 Oktober) selepas menikmati sarapan pagi kami dibawa ke Serikin untuk membeli-belah pada hari terakhir. Perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit menuju ke Serikin yang terletak di sempadan Sarawak Kalimantan, Indonesia. Kesempatan terakhir untuk membeli-belah tidak dilepaskan, terutama barangan Indonesia seperti baju sembahyang dan kain batik. Jam 11.30 pagi rombongan kami meninggalkan Serikin menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk balik ke Kuala Lumpur.

Perjalanan pulang ke KL

Jam 3.05 petang rombongan kami berlepas dari Kuching dan tiba di LCCT Kuala Lumpur jam 4.35 petang. Perjalanan terakhir kami untuk pulang ke Kuala Terengganu bermula jam 8.35 malam dan tiba Lapangan Terbang Sultan Mahmud jam 9.15 malam. Perjalanan kami berakhir di sini apabila ahli keluarga masing-masing datang mengambil ahli rombongan yang pulang dengan seribu kenangan manis dan pelbagai cenderamata dari Bumi Kenyalang.

Monday, October 12, 2009

Perkhemahan Unit Beruniform

Di puncak Bukit Besar

Melambai dalam kabus pagi

Di puncak Kejayaan...

Malam persembahan

Tolongggg..... hantuuuuuuu......


Perkhemahan Unit Beruniform SK Losong telah diadakan pada 8 hingga 10 Oktober 2009 bertempat di Perkarangan SK Losong. Perkhemahan yang disertai oleh semua murid tahun 6 bermula jam dua petang melibatkan beberapa aktiviti seperti pertandingan memasak, kembara, sukaneka, kuliah agama, malam persembahan dan beberapa acara lagi.
Perkhemahan pada tahun ini memberikan kepuasan kepada murid walaupun disertai dengan kehadiran hujan yang lebat pada malam pertama perkhemahan. Perkhemahan berakhir jam 12.00 tengah hari, 10 Oktober 2009.

Monday, October 05, 2009

Aidilfitri 2009

Warna-warni Aidilfitri

Ucapan wakil murid

Persembahan murid

Sebahagian daripada guru SK Losong

Sambutan Aidilfitri 2009 SK Losong telah diadakan pada hari Khamis, 1 Oktober 2009 bertempat di Dewan Bestari SK Losong. Majlis yang bermula pada jam 10.00 pagi dihadiri oleh semua guru dan murid serta ajk PIBG yang lengkap berpakaian raya. Majlis yang penuh warna-warni itu dimulakan dengan ucapan hari raya oleh Guru Besar, wakil guru dan wakil murid. Hidangan istimewa pada majlis tersebut ialah nasi minyak dan kuih raya.

Friday, October 02, 2009

Makluman 2

Perkhemahan Unit Beruniform 2009

Tarikh : 8 - 10 Oktober 2009

Tempat : Perkarangan SK Losong

Penyertaan : Semua Murid Tahun 6