Mangsa yang maut Khairul Arif Ayob, 6, pelajar Taman didikan  Kanak-kanak(Tadika) Kampung Losong Atap Zin dikatakan tercampak setinggi  15 meter ke atas pokok yang berhampiran dengan rumah itu akibat letupan  kuat tersebut kira-kira pukul 12.30 tengahari.
 Seorang saksi Nor Shafli Azhar, 36, berkata mayat Khairul Arif yang  mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tersangkut di atas pokok  berdekatan telah diturunkan oleh orang ramai sebelum membawanya ke  hospital.
 "Kaki seorang lelaki hampir hancur, selain mengalami kecederaan di  bahagian badan manakala seorang lagi mangsa juga mengalami kecederaan  parah di bahagian kaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
 Bagaimanapun idendititi kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 22 dan 23 tahun masih belum dikenalpasti.
 Nor Shafli berkata, ketika kejadian beliau sedang berehat di rumahnya  tidak jauh dari tempat kejadian apabila tiba-tiba terdengar bunyi  letupan yang kuat sehingga menggegarkan rumahnya.
 Beliau kemudian menjengah ke luar rumahnya dan melihat asap tebal  dari arah rumah tinggal terbabit dan bergegas ke tempat kejadian untuk  melihat secara dekat kejadian yang berlaku.
 "Apabila sampai saya mendapati rumah berkenaan rosak teruk dengan  sebahagiandinding rumah tercabut dan berandanya runtuh. Dua orang lelaki  turut terbaringdi luar rumah dalam keadaan cedera parah," katanya yang  merupakan seorang peniaga.
 Beliau berkata salah seorang lelaki  terbabit berada dalam keadaan  tidak sedarkan diri manakala seorang lagi lelaki yang berada di bawah  serpihan kayu daripada rumah yang meletup itu sempat memberitahunya ada  seorang budak yang turut terlibat dalam kejadian itu dan mengarah beliau  mencarinya.
 "Setelah mencari saya tidak sangka pula akan menjumpai mayat  kanak-kanak itu tersangkut di atas pokok dengan kepalanya cedera parah,"  katanya.
 Beliau berkata, dua mangsa yang cedera parah itu kemudian telah  dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan.
 Seorang jiran yang tinggal berhampiran 50 meter daripada rumah  berkenaan, Hasnah Abdul Jalil, 50, pula berkata kejadian itu  mengakibatkan atap rumahnya tercabut dan cermin tingkap dapur rumahnya  rosak teruk.
 "Mujurlah saya tidak ada di rumah ketika kejadian kerana kebiasaannya  saya sedang memasak waktu itu. Ketika itu saya keluar untuk mengambil  anak saudara di tadika di kawasan berhampiran," katanya.
 Beliau turut mendakwa sering ternampak kereta keluar masuk di kawasan  rumah tinggal itu dengan mengangkut barangan, namun tidak mengetahui  jenis barangan itu.
 Sementara itu, ibu saudara kanak-kanak malang itu Rozita Abdul  Rahman, 35, ketika ditemui di rumah ibunya berkata, ketika kejadian ibu  bapa kanak-kanak berkenaan keluar ada urusan di mahkamah.
 Manakala, anak saudaranya yang peramah dan cepat mesra itu, sudah beberapa hari tidak ke sekolah (tadika) kerana demam.
 "Hari ini entah macam mana dia boleh ikut kawan ayahnya ke tempat kejadian," katanya.
 Menurutnya, ibu Khairul Arif telah menyediakan dua pasang baju raya untuk dipakai oleh kanak-kanak itu pada hari raya nanti.
 "Saya juga rasa hairan kerana hari ini Khairul Arif membawa bersama  selipar rayanya ke hulu ke hilir untuk ditunjukkan kepada orang yang  dijumpainya. Dia juga tidak semena-mena pernah berkata nak pergi jauh,"  katanya yang terkejut dengan kejadian itu.
 Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan yang turut melawat tempat  kejadian, mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan untuk  mengetahui punca sebenar kejadian selain jenis bahan letupan dan  individu yang terlibat.
 "Kita akan meminta bantuan Unit Forensik dan Unit Bom dari Kuala Lumpur untuk membantu menyiasat dalam kes ini," katanya.
 Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak bermain dengan mercun  menjelang musim perayaan ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang  tidak diingini.
 Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - BERNAMA
Sumber: http://mstar.com.my/