Sunday, April 29, 2007

Kem Kecemerlangan UPSR ( KE MERCU ) 2007

Calon UPSR 2007 tekun mendengar ceramah

Kem Kecemerlangan UPSR 2007 ( Ke Mercu ) telah diadakan pada 20 & 21 April 2007 bertempat di Angullia Beach House Resort, Marang, Terengganu. Kem selama 2 hari 1 malam iaitu telah disertai oleh semua murid tahun 6 SK Losong.
Para pelajar telah didedahkan mengenai teknik menjawab soalan UPSR yang merangkumi semua subjek UPSR. Ceramah-ceramah itu telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari sekolah di sekitar Kuala Terengganu yang mana penceramah tersebut merupakan pemeriksa kertas UPSR.

Friday, April 20, 2007

Kereta Untuk Dijual

Beginilah keadaan tempat letak kereta di perkarangan SK Losong. Setiap kali adanya sesuatu acara atau sambutan tempat letak kereta di sini akan penuh sesak dan menyukarkan pergerakan kereta untuk keluar masuk. Sampai bilakah keadaan ini akan berakhir????

Thursday, April 12, 2007

SK Losong Tuan Rumah Pertandingan Bercerita

Peserta menyampaikan cerita dengan penuh gaya

SK Losong telah dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Bercerita Sekolah Rendah Peringkat Daerah Kuala Terengganu pada 12 April 2007. Pertandingan yang disertai oleh sepuluh buah sekolah telah diadakan di Perpustakaan Sekolah bermula jam 9.00 pagi.
Johan pertandingan tahap 1 Daerah KTU ialah SK Gong Badak, manakala tempat kedua ialah SK Mengabang Telipot dan Tempat ketiga ialah SK Manir. Manakala johan tahap satu Daerah KTS ialah SK Kubang Ikan manakala naib johan ialah SK Gelugor.
Johan bagi tahap 2 Daerah KTU ialah SK Kompleks Seberang Takir, tempat kedua ialah SK Beladau Kolam dan tempat ketiga ialah SK Institut Perguruan Kuala Terengganu. Manakala johan tahap dua KTS ialah SK Duyung dan tempat kedua ialah SK Seri Budiman 2.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Guru Penolong Kanan 1, Sk Losong yang mewakili Guru Besar SK Losong.

Sunday, March 04, 2007

Kem Kepimpinan Pengawas 2007

Para pengawas khusyuk mendengar ceramah

Kem Kepimpinan Pengawas telah diadakan pada 2 dan 3 Mac 2007 bertempat di Angullia Beach House Resort, Marang, Terengganu. Kem yang diadakan selama 2 hari 1 malam itu telah dianjurkan oleh Badan Disiplin dan Pengawas SK Losong dengan kerjasama Unit Bimbingan SK Losong melibatkan semua pengawas sekolah seramai 39 orang.
Kem tersebut telah dirasmikan oleh Guru Penolong Kanan I, En. Ismail Abdullah selaku pemangku Guru Besar SK Losong. Tiga orang penceramah telah diundang untuk menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut. Mereka ialah Pn. Hjh. Aini bt Mohd Som, Penolong Kanan I SK Gong Tok Nasek manakala penceramah kedua ialah En. Tawang b Sulong, Guru Besar SK Atas Tol, dan penceramah ketiga ialah En. Zainuddin Omar, Guru Kaunseling SK Kesom, Kuala Terengganu.

Wednesday, February 28, 2007

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas 2007

Para Pengawas SK Losong tahun 2007

Satu majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah telah diadakan pada
28 Januari 2007 di Dewan Bestari SK Losong. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Losong, Pn. Norlela bt Yusoff. Seramai 39 orang murid dari tahun 3 hingga 6 telah dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun ini.
Pengawas sekolah pada tahun ini diketuai oleh Nurul Syahirah bt. Asli manakala penolongnya pula ialah Mohd Fitri Hafizi b Fauzi. Kedua-duanya adalah dari tahun 6 Takwa.
Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Guru Besar mengingatkan kepada para pengawas yang dilantik agar menjaga disiplin diri dan bertugas dengan penuh dedikasi demi menjaga nama baik sekolah.

Wednesday, November 22, 2006

Keputusan UPSR 2006

5A... dari kiri Raaina, Dewi, Nur Alya, Norhatifah, Intan,
Guru Besar ( Pn. Norlela ), Zuhairi, Iqbal dan Khairu Hilmi


Seramai 8 orang calon UPSR SK Losong telah berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut yang telah diumumkan baru-baru ini. Jumlah tersebut mengekalkan rekod pada tahun 2005. Menurut Guru Penolong Kanan 1, En. Ismail Abdullah peratus lulus minima C meningkat kepada 81.8% daripada 65.3% pada tahun 2005. Keputusan ini merupakan rekod terbaik sekolah setakat ini.
Peratusan lulus mengikut mata pelajaran bagi Pemahaman adalah 97%, manakala bagi Penulisan ialah 95.5%. Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains peratus lulusnya adalah sama iaitu 92.4% manakala bagi Matematik pula peratus lulusnya ialah 87.9%. Menurut En. Ismail lagi, jumlah calon yang mendapat 4A ialah 9 orang daripada jumlah keseluruhan calon UPSR 2006 seramai 66 orang.
Senarai calon yang mendapat 5A ialah Intan Mariam bt Che Hazamuddin yang merupakan Tokoh Murid SK Losong 2006, Ahmad Zuhairi Uzair b Zahir Rudin, Mohd Iqbal b Baharudin, Ahmad Khairul Hilmi b Mohamad, Nur Alya Hanani bt Noormi, Raaina bt Rahim, Dewi Sartika bt Jamaluddin dan Norhatifah Adilla bt Mohd Zaki. Syabas diucapkan kepada semua yang berjaya.....

Jamuan Akhir Tahun

Tak sabar menunggu...

Satu majlis jamuan akhir tahun telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini pada hari Khamis, 9 November yang lalu. Majlis tersebut yang diadakan pada jam 3 petang telah dihadiri oleh semua guru dan kakitangan SKLo. Majlis tersebut juga diadakan serentak dengan majlis perpisahan pengawas sekolah 2006. Semua 40 orang pengawas sekolah telah hadir dalam majlis yang julung kalinya diadakan di hotel tersebut.

Sunday, October 29, 2006

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Menikmati kuih raya

Majlis sambutan Aidilfitri telah diadakan di SK Losong pada 29 Oktober 2006 di Dewan Bestari SK Losong. Majlis diadakan pada pukul 10.00 pagi dengan jamuan kuih raya yang dibawa oleh murid-murid dan guru-guru. Semua murid berpakaian raya yang berwarni-warni menyerikan lagi majlis sambutan tersebut. Dalam majlis tersebut juga didendangkan lagu-lagu raya secara karaoke oleh guru-guru SK Losong.

Sunday, October 15, 2006

SK Losong Ke Langkawi

Murid SK Losong bergambar di Dataran Lang

SK Losong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Langkawi pada 8 - 11 September 2006. Rombongan tersebut disertai oleh 31 orang murid dan 8 orang guru. Di antara tempat yang dilawati semasa di Langkawi ialah Makam Mahsuri, Underwater World, pekan Kuah dan lain-lain lagi. Dalam perjalanan pulang mereka sempat singgah di Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia dan singgah membeli-belah di Pekan Rabu.

Saturday, September 02, 2006

Sambutan Bulan Kemerdekaan

Murid-murid penuh bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.

Sambutan Bulan Kemerdekaan telah diadakan di Dewan Bestari SK Losong pada 17 Ogos 2006.
Beberapa acara telah diadakan pada majlis tersebut seperti bacaan perutusan sempena sambutan bulan kemerdekaan, nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi sajak dan beberapa acara lagi. Acara-acara tersebut telah disertai oleh murid-murid dengan penuh bersemangat sempena meraikan bulan kemerdekaan.

Friday, July 21, 2006

Lawatan Majalah Kuntum

Pemenang Kuiz bergambar bersama maskot Kuntum.

Majallah kanak-kanak Kuntum telah mengadakan lawatan ke SK Losong pada 17 Julai 2006.
Rombongan tersebut diketuai oleh editor Datin Emillia Kassim bersama ahlinya tiba di SK Losong pada jam 11.30 pagi dan telah mengadakan beberapa aktiviti antaranya kuiz dan acara bergambar bersama-sama maskot Kuntum.

Perkhemahan Pengakap

Ahli pengakap SK Losong sedang menikmati makan tengahari

Pasukan Pengakap SK Losong telah mengambil bahagian dalam Perkhemahan Pengakap Daerah Kuala Terengganu yang telah diadakan di Kem Sri Gelam, Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit.
Dalam perkhemahan yang diadakan pada 13 hingga 15 Julai 2006 pasukan pengakap SK Losong telah menghantar wakil seramai 10 orang ahli yang terdiri dari murid tahun 4, 5, dan 6.

Pertandingan Mewarna

Pelbagai aksi murid mewarna untuk menghasilkan yang terbaik.

Pertandingan Mewarna sempena Kempen Bulan Membaca telah diadakan di Dewan Bestari SK Losong. Pertandingan tersebut diadakan pada 13 Julai 2006. Semua murid dari tahun 1 hingga tahun 6 telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Monday, May 22, 2006

Kem Kecemerlangan UPSR 2006

Tekun... murid-murid sedang mengikuti ceramah.

Kem Kecemerlangan UPSR ( KEMERCU ) 2006 telah diadakan pada 18 hingga 19 Mei 2006 di Angullia Beach House Resort, Marang Terengganu. Kem selama 2 hari satu malam itu telah disertai oleh semua murid tahun 6.
Beberapa orang penceramah bagi mata pelajaran UPSR telah dijemput untuk memberikan ceramah mengenai teknik menjawab soalan UPSR.

Pra Sekolah 2006

Murid-murid Pra Sekolah bergambar bersama
(dari kiri) Guru Pra Sekolah, Guru Besar, Penolong Kanan 1
dan Pembantu Pengurusan Murid.


Sambutan Hari Guru 2006

Guru-guru sedang melafazkan ikrar

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan pada 16 Mei 2006 bertempat di Dewan Bestari SK Losong. Acara dimulakan pada pukul 8.00 pagi dengan bacaan ikrar diikuti dengan nyanyian lagu tema iaitu Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan dan disusuli dengan lagu Guru Malaysia.
Perutusan ucapan Hari Guru oleh Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran telah dibacakan dalam majlis tersebut. Tidak ketinggalan juga deklamasi sajak Guru O Guru juga diadakan.
Majlis sambutan juga diserikan dengan acara sukaneka yang melibatkan semua guru dan murid-murid SK Losong. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari untuk semua guru dan murid di kantin sekolah.

Saturday, May 13, 2006

SELAMAT HARI GURU ( 16.05.2006 )


Selamat Menyambut Hari Guru
Kepada Semua Guru SK Losong, Kuala Terengganu
dan kepada semua guru di mana sahaja anda berada.

Friday, April 14, 2006

Doktor Muda

Doktor Muda SKLo bersama Dr. Nurfazlinda Md Shah
( barisan tengah, tiga dari kiri ) dan guru-guru SKLo


Kelab Doktor Muda SK Losong telah ditubuhkan dengan rasminya pada 30 Mac 2006. Kelab tersebut disertai oleh mutid-murid tahun 4 Takwa seramai 27 orang.
Majlis perasmian kelab tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Nurfazlinda bt. Md Shah, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dari Klinik Kesihatan Air Jernih, Kuala Terengganu. Majlis tersebut diadakan di Bilik Audio Visual SK Losong pada jam 2.30 petang turut dihadiri oleh Guru Besar SK Losong, Pn. Norlela bt. Yusoff, guru-guru penolong kanan & Guru Penyelaras Kelab tersebut iaitu Cik Noraiza bt. Ibrahim.

Solat Hajat Kecemerlangan UPSR

Satu majlis solat hajat kecemerlangan UPSR 2006 telah diadakan di SKLo pada 23 Mac 2006. Majlis yang bermula pada jam 7.15 malam dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, Solat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan Solat Isyak. Majlis tazkirah juga diadakan selepas solat Isyak oleh penceramah jemputan.
Majlis tersebut disertai oleh murid-murid tahun enam bersama ibu bapa masing-masing, ahli jawatankuasa PIBG dan guru-guru SKLo serta kakitangan sekolah. Majlis berakhir jam 10.30 malam.