Sunday, June 28, 2009

Warna-warna Pelaminan Malaysia

Bergambar beramai-ramai

Perkahwinan Kaum Sikh

Perkahwinan Kaum Melayu

Perkahwinan Kaum Kadazan

Persandingan Baba & Nyonya

Pihak sekolah telah dijemput oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu ke Majlis Perasmian Warna-warna Pelaminan Malaysia pada hari Isnin 22 Jun 2009. Pameran yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi JK Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri, En. Wan Abdul Hakim bin Tan Sri Wan Mokhtar pada jam 10.00 pagi bertempat di Serambi Mandalika, Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Murid Tahun 4 Takwa bersama dua orang guru dipilih mewakili sekolah ke majlis tersebut. Selepas majlis perasmian, semua peserta dibawa melawat ke ruang pameran yang menempatkan pelbagai pelamin dari pelbagai kaum di Malaysia, antaranya kaum Kadazan, Baba & Nyonya, India, Cina, Melayu dan lain-lain lagi. Kesempatan tersebut telah digunakan oleh para peserta untuk bergambar bersama dengan pengantin.

Saturday, June 20, 2009

Kursus Eduweb TV

Sedang melayari internet

Fasi sedang menunjuk ajar peserta kursus

Seronoknya...

SK Losong telah mengadakan Kursus Eduwebtv pada 20 Jun 2009 bertempat di Makmal Komputer SK Losong. Kursus yang bermula jam 8.00 telah disertai oleh semua guru SK Losong dan telah dikendalikan oleh Pn. Aniza Ibrahim yang telah menghadiri kursus tersebut sebelumnya di SMK Seri Nilam. Kursus tersebut berlangsung selama sehari dengan jayanya.

Wednesday, June 17, 2009

Lawatan Ke Melaka

Menaiki Bas 'Double Decker' di Kota Melaka

Pada 19 Mei 2009, jam 9.30 malam rombongan seramai 28 orang murid dan 6 orang guru pengiring yang menyertai Lawatan Sambil Belajar ( LaSBela ) berlepas ke Melaka. Tepat jam 5.30 pagi, rombongan kami berhenti di Masjid Jamek Tangkak untuk urus diri dan solat Subuh.

Selepas itu, rombongan kami menikmati sarapan pagi di Tangkak. Jam 8.00 pagi, rombongan kami meneruskan perjalanan ke Melaka. Destinasi pertama kami ialah Muzium Maritim. Di sini, murid-murid mendapat maklumat berkaitan sejarah pelayaran, perkapalan dan ketenteraan

( armada laut ).

Kemudian rombongan kami berkunjung pula ke Muzium Rakyat di mana banyak bahan sejarah berkaitan manusia dipamerkan. Secara tidak langsung murid-murid didedahkan tentang sejarah manusia. Jam 11.00 pagi, rombongan kami berkunjung pula ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak tidak jauh daripada Muzium Rakyat. Di sini juga murid-murid mendapat maklumat yang sangat berguna tentang Sejarah Kemerdekaan Negara yang kita sayangi.

Seperti yang ditempah, jam 11.30 pagi rombongan kami ke Menara Taming tetapi pada waktu itu penyelenggaraan dijalankan menyebabkan perubahan jadual terpaksa dilakukan. Rombongan kami seterusnya melawat Rumah Kebajikan Seri Kenangan Cheng yang menempatkan golongan warga emas. Rombongan kami juga telah dihidangkan dengan makan tengah hari di sini. Sesi taklimat dan lawatan ke bilik-bilik peserta ternyata menyentuh hati rombongan kami.

Pada pukul 3.00 petang, rombongan kami mendaftar masuk ke Hotel Accordian. Jam 4.30 petang rombongan kami sekali lagi ke Menara Taming dengan menaiki Bas Double Decker. Sampai di sana ia masih belum berfungsi lagi dan ini ternyata mengecewakan kami. Lantaran itu, para peserta rombongan dibawa melawat Dataran Pahlawan Mall untuk aktiviti bebas selama 2 jam. Tepat 6.30 petang, rombongan kami bertolak pulang ke hotel dengan menaiki Bas Double Decker sekali lagi.

Jam 8.30 malam, para peserta dibawa menaiki Melaka River Cruise. Perjalanan sepanjang sungai tersebut memakan masa 45 minit dan ia ternyata menyeronokkan serta memberi pengalaman baru kepada semua peserta. Selepas itu, rombongan kami pulang ke hotel untuk beristirehat.

Tanggal 21 Mei 2009, jam 9.00 pagi rombongan kami terus ke destinasi yang terakhir iaitu Zoo Melaka. Rombongan kami melihat binatang-binatang dan hidupan di sini selama 2 jam. Selepas itu, baru rombongan kami bertolak pulang ke Terengganu. Kami berhenti rehat dan makan tengah hari sekali di Tangkak. Manakala, makan malam pula di Gambang, Pahang. Tepat jam 11.45 malam, rombongan kami selamat tiba di SK Losong.


Berita disediakan oleh: Baharim Ramli