Wednesday, June 17, 2009

Lawatan Ke Melaka

Menaiki Bas 'Double Decker' di Kota Melaka

Pada 19 Mei 2009, jam 9.30 malam rombongan seramai 28 orang murid dan 6 orang guru pengiring yang menyertai Lawatan Sambil Belajar ( LaSBela ) berlepas ke Melaka. Tepat jam 5.30 pagi, rombongan kami berhenti di Masjid Jamek Tangkak untuk urus diri dan solat Subuh.

Selepas itu, rombongan kami menikmati sarapan pagi di Tangkak. Jam 8.00 pagi, rombongan kami meneruskan perjalanan ke Melaka. Destinasi pertama kami ialah Muzium Maritim. Di sini, murid-murid mendapat maklumat berkaitan sejarah pelayaran, perkapalan dan ketenteraan

( armada laut ).

Kemudian rombongan kami berkunjung pula ke Muzium Rakyat di mana banyak bahan sejarah berkaitan manusia dipamerkan. Secara tidak langsung murid-murid didedahkan tentang sejarah manusia. Jam 11.00 pagi, rombongan kami berkunjung pula ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak tidak jauh daripada Muzium Rakyat. Di sini juga murid-murid mendapat maklumat yang sangat berguna tentang Sejarah Kemerdekaan Negara yang kita sayangi.

Seperti yang ditempah, jam 11.30 pagi rombongan kami ke Menara Taming tetapi pada waktu itu penyelenggaraan dijalankan menyebabkan perubahan jadual terpaksa dilakukan. Rombongan kami seterusnya melawat Rumah Kebajikan Seri Kenangan Cheng yang menempatkan golongan warga emas. Rombongan kami juga telah dihidangkan dengan makan tengah hari di sini. Sesi taklimat dan lawatan ke bilik-bilik peserta ternyata menyentuh hati rombongan kami.

Pada pukul 3.00 petang, rombongan kami mendaftar masuk ke Hotel Accordian. Jam 4.30 petang rombongan kami sekali lagi ke Menara Taming dengan menaiki Bas Double Decker. Sampai di sana ia masih belum berfungsi lagi dan ini ternyata mengecewakan kami. Lantaran itu, para peserta rombongan dibawa melawat Dataran Pahlawan Mall untuk aktiviti bebas selama 2 jam. Tepat 6.30 petang, rombongan kami bertolak pulang ke hotel dengan menaiki Bas Double Decker sekali lagi.

Jam 8.30 malam, para peserta dibawa menaiki Melaka River Cruise. Perjalanan sepanjang sungai tersebut memakan masa 45 minit dan ia ternyata menyeronokkan serta memberi pengalaman baru kepada semua peserta. Selepas itu, rombongan kami pulang ke hotel untuk beristirehat.

Tanggal 21 Mei 2009, jam 9.00 pagi rombongan kami terus ke destinasi yang terakhir iaitu Zoo Melaka. Rombongan kami melihat binatang-binatang dan hidupan di sini selama 2 jam. Selepas itu, baru rombongan kami bertolak pulang ke Terengganu. Kami berhenti rehat dan makan tengah hari sekali di Tangkak. Manakala, makan malam pula di Gambang, Pahang. Tepat jam 11.45 malam, rombongan kami selamat tiba di SK Losong.


Berita disediakan oleh: Baharim Ramli


No comments: